Jumaat, 30 Disember 2011

Bayi terkena badi mayat

BAYI TERKENA BADI MAYAT 
( Diceritakan oleh ibu bayi sendiri ) 

Tragedi ini menimpa bayi perempuan saya, ketika itu masih berusia 7 bulan. Memang tidak bermaya, tidak tidur, tidak menangis, tidak ketawa, tidak makan. Ibu mana yang mampu menahan bila keadaan anak begitu. Saya bersama suami sering lakukan solat hajat untuk meminta Allah lindungi dan pelihara kesihatan dan kesejahteraan kami sekeluarga. Masa berlalu sehinggalah rumah ibu di datangi seorang lelaki yang agak berusia lewat 50 an dan memperkenalkan dirinya sebagai Cik Man, seingat saya waktu itu Hari Raya Aidil Adha.

Sesungguhnya kami sekeluarga memang tidak mengenali dan tidak pernah pula berkenalan dengan lelaki tersebut. Cik Man tu kata selepas beliau selesai solat Asar tak tahu pulak gerakan hati untuk ke rumah itu (rumah ibu). Beliau terus saja menjengah ke buaian anak saya sambil mengucap panjang. Beliau terduduk sambil memadang wajah seorang demi seorang. Beliau kata di dalam buaian itu bukannya anak saya tetapi wajah perempuan tua yang hampir kecut.

Ya Allah ! Waktu itu rasanya kaki saya tidak mencecah kebumi, terasa terlerai segala sendi yang ada. Cik Man tu menawarkan diri untuk mengubat bayi saya selama tiga hari (itu pun dengan izin dari Allah...katanya).

Dia meminta saya mendapatkan air lebihan mandian jenazah (air yang masih ada di dalam getah) dengan syarat yang meninggal mestilah seorang lelaki (sebab yang menumpang pada bayi saya adalah badi daripada mayat perempuan tua dan bukannya satu tetapi tujuh, benda tu menghuni di setiap sendi bayi perempuan saya) jika saya terlewat bayi saya mungkin turut meninggal.

Kerana terlalu risaukan keselamatan bayi saya, sehinggakan saya berdoa agar adalah orang yang meninggal pada hari itu. Hampir tiga jam saya bersama suami bertanya ke sana-sini, mencari rumah orang yang ada kematian. Dgn izin Allah saya terjumpa petang itu, Alhamdulilah. Petang itu Cik Man ke masjid dan dia hanya berpesan agar bayi saya yang sekecil itu dimandikan dengan menghadap ke kiblat berserta sepotong doa yang diberikan. Suami saya terus memandikan bayi perempuan saya seperti yang disarankan oleh CikMan tadi. Selepas dimandikan separuh badan bayi saya (dari pinggang kebawah) bertukar menjadi lebam. Rupa-rupanya kami tersilap kerana mana ada jenazah perempuan orang lelaki yang mandikan. Sekali lagi hati saya tidak keruan, mencari hingga kemalam.

Keesokkannya pagi-pagi lagi saya telah ke rumah mayat Hospital SHah Alam, menanti kalau-kalau ada orang yang meninggal ketika itu. Allah Maha Penyayang dan akhirnya saya bertemu dengan kawan lama yang kebetulan kematian datuk. Saya meminta izin dari neneknya untuk meminta sedikit air lebihan mandian untuk membuat ubat anak saya. Saya menceritakan dengan linangan air mata, tersentuh hati saya bila nama bayi perempuan saya disebut.

Bila air itu sudah diperolehi terus saja saya serahkan kepada CiMan (takut ada sebarang kesilapan lagi). Cik Man meminta saya memandikan bayi saya sendiri, tetapi saya tidak boleh kerana kedatangan haid, terpaksa ibu yang mengambil alih tempat saya. Cik Man berpesan apa jua yang berlaku pada malam itu beliau meminta kami semua bersabar dan sentiasa mengingati Allah swt. Pintu dan tingkap diminta buka seluas-luasnya. Cik Man meminta ibu tanakkan sepiring pulut kuning. Benar seperti apa yang Cik Man katakan.

Malam itu adalah malam pertama saya mendengar tangisan bayi saya, tangisan yang saya rindu sejak beberapa bulan yang lalu. Bayi saya meronta-ronta dan dengan spontan terasa seperti ada imbasan angin yang keluar terus menuju ke pintu dapur rumah ibu. Dalam masa yang sama terdengar suara ibu memekik dari dapur (seperti suara orang terperanjatkan sesuatu) tutup pengukus pulut itu dipenuhi cecacing dan ulat yang berwarna hitam. Adik lelaki saya mengucap dan terus membuang ulat-ulat itu ke longkang.

Bila kesemuanya telah selesai, Cik Man memberitahu tahu kepada saya, suami dan keluarga yang ada. Ada seorang daripada ahli keluarga kami yang menziarahi jenazah yang meninggal dalam kemalangan, kemudian balik dari ziarah terus menegur bayi saya tu. Cik Man cakap itu badi mayat. Kebetulan waktu itu bapa saudara saya pula sampai ke rumah untuk bertanyakan khabar bayi saya.

Rupa-rupanya orang yang Cik Man maksudkan itu adalah bapa saudara saya, dia pun akui dan tak sangka perkara itu terjadi kpd bayi saya. Cik Man menawarkan diri sekali lagi untuk merawat bayi saya sehingga berusia setahun. Saya pernah sekali ke rumahnya dan membawa serba sedikit keperluan dapur untuk dia dan isterinya. Gembira dan bersyukurnya saya, kerana bayi saya sudah pandai bertatih. Sekian lama selepas segala kesulitan itu terurai, saya bercadang untuk menziarah Cik Man sambil membawa sedikit sedekah dan tanda terima kasih. Saya dan mencari alamat rumah seperti yang diberikan oleh Cik Man.

Apabila saya sampai ke alamat itu saya lihat disitu cuma ada sebuah rumah tinggal yang papannya sudah pun berlumut. Saya bertanya dengan kedai mamak yang berhampiran, tempat saya membeli keperluan dapur waktu pertama kali saya bertandang kerumah Cik Man. Mamak tu kata rumah tu dah bertahun-tahun kosong, tuan rumah tu tak ada waris. Saya dan suami berpandangan sesama sendiri. Barang yang telah terniat untuk Cik Man saya sedekahkan ke surau yang berhampiran. Terima kasih, saya sekeluarga terhutang budi kepada Cik Man (jika beliau masih hidup) dan saya sedekahkan Al-Fatihah buat Cik Man jika dia benar-benar sudah meninggal. Apa yang berlaku elok dijadikan pengajaran dan ikhtibar. 

Hantu Tali Gantung


HANTU TALI GANTUNG MENGGANGU PENDUDUK KAMPUNG
 

Kampung Pandan Seri sedang musim durian. Sepanjang musim itu Bang Akob tidur di pondok duriannya, beberapa meter dari tanah perkuburan Islam kampung itu. Seperti biasa, menjelang tengah malam dia pasti menyusur dusunnya memungut durian. Kalau tidak, sudah pasti duriannya akan dipungut budak-budak dadah yang sering merayau-rayau di dusun orang tidak kira waktu.

Malam itu, angin mendesah. Sekali sekala kilat memancar. Durian amat rahat. Di setiap penjuru dusun kedengaran bunyi durian gugur. “Kalau tak cepat pungut, habislah pagi esok…” kata Bang Akob dalam hati. Sambil menggalas bakul rotan, dia menyuluh di kawasan pangkal pokok yang ada dua puluh batang itu. Kebanyakan pokok durian di dusun Bang Akob pokok tua. Dusun itu harta pusaka peninggalan ayahnya.

Angin malam itu terus mendesah. Kadang-kadang kuat, kadang-kadang perlahan. Ketika bertiup kencang, meliang-liuk kebanyakan dahan pokok dibuatnya. Ketika itu juga kedengaran bunyi durian gugur bertambah banyak. Hati Bang Akob kepalang gembira. Rezekinya esok hari pasti bertambah, fikirnya.

Sebiji demi sebiji durian dipungut dan dimasukkan ke dalam bakul rotan. Hati Bang Akob begitu lega. Duriannya tak sempat dipungut Mat Gian – panggilan biasa kepada budak-budak penagih dadah di kampungnya.

Bagaimanapun sesampai saja di pangkal sebatang durian berhampiran tanah perkuburan itu, Bang Akob terkejut. “Eh, dah datang pun dia…nasib baik aku sudah habis pungut…tak dapatlah dia,” bisik hati Bang Akob sebaik saja dia ternampak satu lembaga di tepi dusunnya.

“Fasal apa dia menuju ke kubur pula?” Kata Bang Akob kehairanan. Bang Akob bergerak menyusur ke penjuru tanahnya. Kemudian dia menyembunyikan diri di sebalik sebatang pokok besar. Lembaga itu bergerak perlahan sambil menarik seutas tali bubut kira-kira dua depa panjangnya. Tanpa membuang masa Bang Akob menyuluh. Suluhannya tepat ke wajah lembaga itu. Sekali lagi Bang Akob terkejut apabila wajah lembaga itu menyerupai orang yang dikenalinya.

“Eh, aku kenal…” bisik hati Bang Akob. “Pak Misan…!” Bang Akob melaung sekuat-kuatnya memanggil Pak Misan, orang tua kampung yang sering menjadi temannya berbual.

Bagi penduduk Kampung Pandan Seri, Pak Misan adalah seorang tokoh. Dia terkenal pendekarnya. Selain itu, dia juga tempat penduduk lelaki meminta ubat untuk menguatkan tenaga tertentu.

Tiada sebarang jawapan daripada lembaga itu. Ia berjalan terus sambil mengheret tali bubut. Tidak beberapa minit satu kejadian mengejutkan Bang Akob. Sebaik-baik saja dia membongkok memungut durian dan kemudian tegak semula, lembaga berwajah Pak Misan hilang dalam gelap malam itu.

Puas juga Bang Akob menyuluh di setiap penjuru dusun duriannya, namun lembaga itu tetap tidak kelihatan lagi. Bang Akob melaung memanggil Pak Misan tetapi tidak ada sebarang jawapan. Dia mula takut. Angin bertiup lebih kencang. Daun-daun berguguran. Kilat memancar sekali-sekala. Bunyi burung hantu di kejauhan menambahkan seram suasana ketika itu.

Bang Akob betul-betul ketakutan. Dia tidak mempedulikan lagi durian yang gugur. Apa yang ada di bakulnya, itu saja yang dibawa pulang ke pondok. Langkahnya begitu cepat. Hatinya bertanya sendiri: ”mengapa Pak Misan merayau di tanah kubur pada tengah-tengah malam begini?”

Menjelang subuh, Bang Akob pulang ke rumah membawa durian yang penuh sarat di dalam bakul di belakang motosikalnya.

Sebaik saja sampai di kepala simpang, Bang Akob terkejut besar ramai penduduk berkumpul di situ. Sebuah Land Rover hitam juga ada di situ.

“Eh apa halnya?” Tanya Bang Akob apabila ternampak kaki orang terjulur dari belakang Land Rover hitam itu.

Pagi itu Kampung Pandan Seri gempar secara tiba-tiba. Seorang penduduk, Mat Jami menemui mayat Pak Misan terlentang di bangsal di belakang rumahnya. Terpandang saja mayat itu, Mat Jami patah balik ke masjid. Dia ingin memberitahu jemaah masjid yang belum pulang selepas menunaikan solat subuh.

Ketua kampung dan Pak Imam masih di masjid. Mereka dan beberapa jemaah terkejut dengan berita yang dibawa Mat Jami. Tanpa membuang masa, mereka beredar ke rumah Pak Misan, Pak Misan sudah kaku di tepi bangsal. Mayatnya dikerumuni semut halus.

“Eh, apa hal Pak Misan memegang tali?” Tanya Pak Imam. Semua yang ada menerpa menghampiri mayat Pak Misan. Soalan itu tidak berjawab. Tidak ada seorang pun di situ yang tahu mengapa seutas tali bubut panjang dua depa itu ada di sisi Pak Misan.

“Kemaskan rumah Pak Misan,” arah Tuk Ketua Kampung. “Seorang pergi beritahu polis.”

Beberapa orang segera naik ke rumah Pak Misan. Pintu depan dan semua tingkap rumah itu terbuka. Mereka mengemas di sana sini dan membentang tikar tempat Pak Misan dibaringkan nanti.

“Kemudian kamu beritahu semua anak Pak Misan,” sambung Tuk Ketua Kampung apabila salah seorang penduduk bersedia dengan motosikalnya untuk ke balai polis kira-kira lima kilometer dari kampung itu.

Dalam masa yang singkat saja kematian Pak Misan tersebar ke seluruh kampung. Orang ramai mulai datang kerana ingin melihat keadaan Pak Misan yang dikatakan misteri itu.

Polis datang dan mengambil mayat Pak Misan untuk dibedah siasat. Orang kampung terus mengerumuni Land Rover hitam. Ketika itu Bang Akob sampai dan dia berhenti di situ bersama-sama dengan orang ramai. Di situ juga dia mendengar cerita mengenai mayat Pak Misan terbujur memegang seutas tali.

“Pak Misan memegang tali?” Tanya Bang Akob sendirian. Keanehan itu timbul kerana dia sendiri terserempak dengang lembaga menyerupai Pak Misan di kebun durian. Dia juga kelihatan mengheret seutas tali.

Selesai urusan pengkebumian Pak Misan, cerita misteri kematian Pak Misan tidak habis di situ. Ia merebak terus. Ramai yang bersimpati dengan arwah Pak Misan namun ramai juga yang mengaitkannya dengan pelbagai kisah timbul ketika Pak Misan masih hidup.

Seminggu selepas kematian Pak Misan, timbul pula kejadian yang lebih buruk. Kampung Pandan Seri ditimpa suasana yang menakutkan. Menjelang senja saja, terdengar suara terpekik terlolong kononnya terpandang lembaga mengheret tali berjalan di sekitar rumah Pak Misan. Yang mendakwa nampak hanya seorang dua, tetapi ceritanya cepat merebak sampai ke telinga anak remaja dan suri rumah.

Suatu senja, beberapa lelaki agak tua berjalan melintasi rumah arwah Pak Misan yang tinggal kosong sejak kematiannya. Sebaik saja sampai di depan rumah itu, mereka ternampak jelas satu lembaga menyerupai Pak Misan.

Sebelum meninggal, di situlah biasanya Pak Misan berdiri menunggu kawan-kawannya bersama ke masjid.

Hari demi hari, semakin ramai orang terserempak dengan lembaga itu. Yang anehnya tiap kali bertemu lembaga orang tua itu sedang mengheret tali.

Bukan itu saja,tali bubut itu juga melahirkan satu lagi misteri. Beberapa orang suri rumah pernah terserempak tali itu berlengkar di depan pintu rumah.

Kejadian itu sesungguhnya amat menakutkan penduduk Pandan Seri. Langkah mengatasinya diambil. Tuk Ketua Kampung memanggil anak buah berkumpul mencari jalan menghilangkan jelmaan itu. Ramai penduduk kampung bersimpati dengan arwah Pak Misan.Mereka tidak mahu jelmaan lembaga itu dikaitkan dengan Pak Misan. Sudahlah ketika ada hayatnya dulu hidup sebatang kara, ditinggal anak dan matinya pula menjadi sedemikian rupa.

“Baiklah, biar saya cuba bercakap dengan lembaga itu,” kata Pak Imam membuat cadangan.

“Saya nak ikut Pak Imam,” celah seorang ketika berlangsung pertemuan penduduk di masjid kampung itu.

“Biar saya pergi seorang diri…” jawab Pak Imam, ”saya merayu dengan makhluk halus itu nanti supaya jangan mengganggu penduduk kampung kita.”

Ramai orang tua di kampung itu percaya kononnya ketika hayatnya dulu, Pak Misan banyak menyimpan ilmu batin, termasuklah ilmu mempertahankan diri dan penggerun. Banyak makhluk halus mendampinginya. Akibatnya kehidupan Pak Misan menjadi tidak tenteram, terutama pada penghujung hayatnya.

Pada usia penghujung enam puluhan, Pak Misan kematian isteri. Dia tinggal kesepian. Semua anaknya sudah berkeluarga dan tinggal jauh dari rumah orang tua itu. Akhirnya, kira-kira enam bulan hidup membujang dan dihimpit pelbagai tekanan perasaan, Pak Misan menyuarakan rasa hati kepada semua anaknya untuk berkahwin lagi.

“Tak boleh ayah… kalau ayah mati nanti senang-senang saja janda ayah dapat harta… kami dapat apa?”kata anak sulung. Anak yang lain juga sekata.

Mendengar itu, Pak Misan tunduk saja. Air matanya menitis ke lantai. Betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul… Pak Misan menahan hati tidak terhingga. Semua anaknya mementingkan diri tanpa memikirkan keadaan dan perasaan si ayah.

Agak lama juga Pak Misan bergelut dengan perasaan. Rayuan dan pujukan syaitan tidak putus-putus menyerang Pak Misan. Dengan sedikit iman di dada dapat juga Pak Misan melawannya, namun sampai bila?

Suatu hari pujukan syaitan bertambah kuat. Ia menabur janji yang indah-indah dengan syarat Pak Misan mengikut kehendaknya. Pak Misan bergelut lagi dengan hasutan itu. Akhirnya dia sudah mencapai seutas tali, tetapi dia masih mampu melawan pujukan itu. Dia rebah di bangsal di belakang rumah.

Sejak kematian Pak Misan, timbulah pelbagai cerita mengenainya. Ada yang menamakan jelmaan lembaga itu sebagai ‘hantu tali gantung’. Begitu buruknya sekali fitnah yang dicipta sesetengah anggota masyarakat kampung itu.

“Assalamualaikum…!”seru Pak Imam di depan rumah Pak Misan. Tiada jawapan. “Sah ini syaitan… ia menyerupai… jahatnya syaitan jahanam!” kata Pak Imam dalam hati. Kemudian dia membaca ayat suci khusus menghalau syaitan. “Sudah… Pak Misan sudah meninggal… ini bukan dunianya lagi… pergi!”

Selesai di situ Pak Imam mengajak beberapa penduduk kampung pergi ke kubur Pak Misan. Mereka membaca Al-Fatihah dan Yasin di samping memohon doa agar roh Pak Misan sentiasa dalam keadaan dirahmati Allah. - Amin. 

Hantu di hostel (copy paste

Korang mesti tak pernah dengar cerita hantu dari Russia kan.. Entah la.. aku bukan tak nak cerita, masalahnya aku tak nak ambil tahu pun. Yelah. Dulu kat bilik lama aku selalu duduk kat dalam bilik sorang-sorang. Nanti tak pasal-pasal je.. Apa-apa pun ni cerita yang dialami sendiri oleh kawan aku. Budak Malaysia gak.
Kawan aku ni dia ada awek kat Malaysia. Jadi ada kalanya mestilah nak Skype dan berwebcam bagai untuk melepaskan rindu. Biasalah tu kan, long distance relationship macam tu la. Tak tau dah berapa lama diorang couple, tapi aku rasa maklumat tu takde kaitan la dengan cerita hantu ni.
Dia ni selalu bangun awal pagi untuk chatting dengan awek dia. Tak pasti awal macam mana, sebab aku tak sempat lagi interview mangsa. Cuma dengar cerita ni daripada mulut ke mulut je. Diceritakan satu hari tu dia bangun awal macam biasa untuk chatting dengan kekasih hati dia. Kawan-kawan sebilik semua dah tidur. Maka duduklah dia seperti biasa kat meja, chatting sambil buka webcam.

Hari tu sejuk dia lain sikit. Tinggal kat hostel ni, kalau duduk kat floor yang lagi tinggi, kesejukan tu makin kurang terasa. Tak taulah kenapa malam tu sejuk dia memang lain macam sikit walaupun bilik dia kat tingkat 15. Rasa macam ada angin tiup je.. perlahan. Dingin. Kadang-kadang kalau angin kuat sikit rasa macam ada orang je tiup kat tepi tengkuk. ishh.. Tapi kawan aku ni relax je. Dah bermalam-malam kot dia online waktu-waktu ni, jadi benda macam ni dah boleh kata biasa pada dia bak kata orang dah jadi alah bisa tegal biasa. Untuk menghilangkan sikit kesejukan malam, dia bancuh Nescafe 3-in-1. Waktu sejuk ni memang best dapat minum air panas.
Lepas bancuh Nescafe, dia terpandang kat tingkap. Tingkap takde langsir jadi memang boleh nampak hutan belakang yang besar dan paya. Belakang hostel ni ada paya, tapi air dia kotor sangat. Kalau tengok dalam Google maps pun boleh nampak paya tu. Bila datang musim sejuk paya tu beku, tapi awal-awal ni belum beku sepenuhnya. Bahaya kalau main-main atas paya yang tak cukup beku ni.. Malam tu bulan mengambang penuh. Jadi memang terang semacam je hutan belakang tu. Baru kawan aku perasan tingkap tu tak tutup rapat. Patut la sejuk je..
Dia duduk menghadap laptop Acer tu balik. Webcam terbuka dari tadi. Jadi si awek nampak la apa yang berlaku kat sini. Mereka sambung chatting. Lampu ditutup, barulah ada feel sikit kan. Tengah chatting sekali si awek  tanya:
“Eh kawan you pun tak tidur lagi eh?”
“Mana ada, semua dah tidur la..”
“Tapi ada je I nampak orang lalu lalang belakang you”
“….”
Bila ditanya balik, sepanjang mereka chatting sebelum tu memang si awek nampak kelibat orang belakang kawan aku tu. Tapi tak nampak siapa sebab gelap kan. Ingatkan kawan sebilik yang tak tidur lagi padahal dah lama diorang tidur. ish..