Jumaat, 30 Disember 2011

Bayi terkena badi mayat

BAYI TERKENA BADI MAYAT 
( Diceritakan oleh ibu bayi sendiri ) 

Tragedi ini menimpa bayi perempuan saya, ketika itu masih berusia 7 bulan. Memang tidak bermaya, tidak tidur, tidak menangis, tidak ketawa, tidak makan. Ibu mana yang mampu menahan bila keadaan anak begitu. Saya bersama suami sering lakukan solat hajat untuk meminta Allah lindungi dan pelihara kesihatan dan kesejahteraan kami sekeluarga. Masa berlalu sehinggalah rumah ibu di datangi seorang lelaki yang agak berusia lewat 50 an dan memperkenalkan dirinya sebagai Cik Man, seingat saya waktu itu Hari Raya Aidil Adha.

Sesungguhnya kami sekeluarga memang tidak mengenali dan tidak pernah pula berkenalan dengan lelaki tersebut. Cik Man tu kata selepas beliau selesai solat Asar tak tahu pulak gerakan hati untuk ke rumah itu (rumah ibu). Beliau terus saja menjengah ke buaian anak saya sambil mengucap panjang. Beliau terduduk sambil memadang wajah seorang demi seorang. Beliau kata di dalam buaian itu bukannya anak saya tetapi wajah perempuan tua yang hampir kecut.

Ya Allah ! Waktu itu rasanya kaki saya tidak mencecah kebumi, terasa terlerai segala sendi yang ada. Cik Man tu menawarkan diri untuk mengubat bayi saya selama tiga hari (itu pun dengan izin dari Allah...katanya).

Dia meminta saya mendapatkan air lebihan mandian jenazah (air yang masih ada di dalam getah) dengan syarat yang meninggal mestilah seorang lelaki (sebab yang menumpang pada bayi saya adalah badi daripada mayat perempuan tua dan bukannya satu tetapi tujuh, benda tu menghuni di setiap sendi bayi perempuan saya) jika saya terlewat bayi saya mungkin turut meninggal.

Kerana terlalu risaukan keselamatan bayi saya, sehinggakan saya berdoa agar adalah orang yang meninggal pada hari itu. Hampir tiga jam saya bersama suami bertanya ke sana-sini, mencari rumah orang yang ada kematian. Dgn izin Allah saya terjumpa petang itu, Alhamdulilah. Petang itu Cik Man ke masjid dan dia hanya berpesan agar bayi saya yang sekecil itu dimandikan dengan menghadap ke kiblat berserta sepotong doa yang diberikan. Suami saya terus memandikan bayi perempuan saya seperti yang disarankan oleh CikMan tadi. Selepas dimandikan separuh badan bayi saya (dari pinggang kebawah) bertukar menjadi lebam. Rupa-rupanya kami tersilap kerana mana ada jenazah perempuan orang lelaki yang mandikan. Sekali lagi hati saya tidak keruan, mencari hingga kemalam.

Keesokkannya pagi-pagi lagi saya telah ke rumah mayat Hospital SHah Alam, menanti kalau-kalau ada orang yang meninggal ketika itu. Allah Maha Penyayang dan akhirnya saya bertemu dengan kawan lama yang kebetulan kematian datuk. Saya meminta izin dari neneknya untuk meminta sedikit air lebihan mandian untuk membuat ubat anak saya. Saya menceritakan dengan linangan air mata, tersentuh hati saya bila nama bayi perempuan saya disebut.

Bila air itu sudah diperolehi terus saja saya serahkan kepada CiMan (takut ada sebarang kesilapan lagi). Cik Man meminta saya memandikan bayi saya sendiri, tetapi saya tidak boleh kerana kedatangan haid, terpaksa ibu yang mengambil alih tempat saya. Cik Man berpesan apa jua yang berlaku pada malam itu beliau meminta kami semua bersabar dan sentiasa mengingati Allah swt. Pintu dan tingkap diminta buka seluas-luasnya. Cik Man meminta ibu tanakkan sepiring pulut kuning. Benar seperti apa yang Cik Man katakan.

Malam itu adalah malam pertama saya mendengar tangisan bayi saya, tangisan yang saya rindu sejak beberapa bulan yang lalu. Bayi saya meronta-ronta dan dengan spontan terasa seperti ada imbasan angin yang keluar terus menuju ke pintu dapur rumah ibu. Dalam masa yang sama terdengar suara ibu memekik dari dapur (seperti suara orang terperanjatkan sesuatu) tutup pengukus pulut itu dipenuhi cecacing dan ulat yang berwarna hitam. Adik lelaki saya mengucap dan terus membuang ulat-ulat itu ke longkang.

Bila kesemuanya telah selesai, Cik Man memberitahu tahu kepada saya, suami dan keluarga yang ada. Ada seorang daripada ahli keluarga kami yang menziarahi jenazah yang meninggal dalam kemalangan, kemudian balik dari ziarah terus menegur bayi saya tu. Cik Man cakap itu badi mayat. Kebetulan waktu itu bapa saudara saya pula sampai ke rumah untuk bertanyakan khabar bayi saya.

Rupa-rupanya orang yang Cik Man maksudkan itu adalah bapa saudara saya, dia pun akui dan tak sangka perkara itu terjadi kpd bayi saya. Cik Man menawarkan diri sekali lagi untuk merawat bayi saya sehingga berusia setahun. Saya pernah sekali ke rumahnya dan membawa serba sedikit keperluan dapur untuk dia dan isterinya. Gembira dan bersyukurnya saya, kerana bayi saya sudah pandai bertatih. Sekian lama selepas segala kesulitan itu terurai, saya bercadang untuk menziarah Cik Man sambil membawa sedikit sedekah dan tanda terima kasih. Saya dan mencari alamat rumah seperti yang diberikan oleh Cik Man.

Apabila saya sampai ke alamat itu saya lihat disitu cuma ada sebuah rumah tinggal yang papannya sudah pun berlumut. Saya bertanya dengan kedai mamak yang berhampiran, tempat saya membeli keperluan dapur waktu pertama kali saya bertandang kerumah Cik Man. Mamak tu kata rumah tu dah bertahun-tahun kosong, tuan rumah tu tak ada waris. Saya dan suami berpandangan sesama sendiri. Barang yang telah terniat untuk Cik Man saya sedekahkan ke surau yang berhampiran. Terima kasih, saya sekeluarga terhutang budi kepada Cik Man (jika beliau masih hidup) dan saya sedekahkan Al-Fatihah buat Cik Man jika dia benar-benar sudah meninggal. Apa yang berlaku elok dijadikan pengajaran dan ikhtibar. 

Hantu Tali Gantung


HANTU TALI GANTUNG MENGGANGU PENDUDUK KAMPUNG
 

Kampung Pandan Seri sedang musim durian. Sepanjang musim itu Bang Akob tidur di pondok duriannya, beberapa meter dari tanah perkuburan Islam kampung itu. Seperti biasa, menjelang tengah malam dia pasti menyusur dusunnya memungut durian. Kalau tidak, sudah pasti duriannya akan dipungut budak-budak dadah yang sering merayau-rayau di dusun orang tidak kira waktu.

Malam itu, angin mendesah. Sekali sekala kilat memancar. Durian amat rahat. Di setiap penjuru dusun kedengaran bunyi durian gugur. “Kalau tak cepat pungut, habislah pagi esok…” kata Bang Akob dalam hati. Sambil menggalas bakul rotan, dia menyuluh di kawasan pangkal pokok yang ada dua puluh batang itu. Kebanyakan pokok durian di dusun Bang Akob pokok tua. Dusun itu harta pusaka peninggalan ayahnya.

Angin malam itu terus mendesah. Kadang-kadang kuat, kadang-kadang perlahan. Ketika bertiup kencang, meliang-liuk kebanyakan dahan pokok dibuatnya. Ketika itu juga kedengaran bunyi durian gugur bertambah banyak. Hati Bang Akob kepalang gembira. Rezekinya esok hari pasti bertambah, fikirnya.

Sebiji demi sebiji durian dipungut dan dimasukkan ke dalam bakul rotan. Hati Bang Akob begitu lega. Duriannya tak sempat dipungut Mat Gian – panggilan biasa kepada budak-budak penagih dadah di kampungnya.

Bagaimanapun sesampai saja di pangkal sebatang durian berhampiran tanah perkuburan itu, Bang Akob terkejut. “Eh, dah datang pun dia…nasib baik aku sudah habis pungut…tak dapatlah dia,” bisik hati Bang Akob sebaik saja dia ternampak satu lembaga di tepi dusunnya.

“Fasal apa dia menuju ke kubur pula?” Kata Bang Akob kehairanan. Bang Akob bergerak menyusur ke penjuru tanahnya. Kemudian dia menyembunyikan diri di sebalik sebatang pokok besar. Lembaga itu bergerak perlahan sambil menarik seutas tali bubut kira-kira dua depa panjangnya. Tanpa membuang masa Bang Akob menyuluh. Suluhannya tepat ke wajah lembaga itu. Sekali lagi Bang Akob terkejut apabila wajah lembaga itu menyerupai orang yang dikenalinya.

“Eh, aku kenal…” bisik hati Bang Akob. “Pak Misan…!” Bang Akob melaung sekuat-kuatnya memanggil Pak Misan, orang tua kampung yang sering menjadi temannya berbual.

Bagi penduduk Kampung Pandan Seri, Pak Misan adalah seorang tokoh. Dia terkenal pendekarnya. Selain itu, dia juga tempat penduduk lelaki meminta ubat untuk menguatkan tenaga tertentu.

Tiada sebarang jawapan daripada lembaga itu. Ia berjalan terus sambil mengheret tali bubut. Tidak beberapa minit satu kejadian mengejutkan Bang Akob. Sebaik-baik saja dia membongkok memungut durian dan kemudian tegak semula, lembaga berwajah Pak Misan hilang dalam gelap malam itu.

Puas juga Bang Akob menyuluh di setiap penjuru dusun duriannya, namun lembaga itu tetap tidak kelihatan lagi. Bang Akob melaung memanggil Pak Misan tetapi tidak ada sebarang jawapan. Dia mula takut. Angin bertiup lebih kencang. Daun-daun berguguran. Kilat memancar sekali-sekala. Bunyi burung hantu di kejauhan menambahkan seram suasana ketika itu.

Bang Akob betul-betul ketakutan. Dia tidak mempedulikan lagi durian yang gugur. Apa yang ada di bakulnya, itu saja yang dibawa pulang ke pondok. Langkahnya begitu cepat. Hatinya bertanya sendiri: ”mengapa Pak Misan merayau di tanah kubur pada tengah-tengah malam begini?”

Menjelang subuh, Bang Akob pulang ke rumah membawa durian yang penuh sarat di dalam bakul di belakang motosikalnya.

Sebaik saja sampai di kepala simpang, Bang Akob terkejut besar ramai penduduk berkumpul di situ. Sebuah Land Rover hitam juga ada di situ.

“Eh apa halnya?” Tanya Bang Akob apabila ternampak kaki orang terjulur dari belakang Land Rover hitam itu.

Pagi itu Kampung Pandan Seri gempar secara tiba-tiba. Seorang penduduk, Mat Jami menemui mayat Pak Misan terlentang di bangsal di belakang rumahnya. Terpandang saja mayat itu, Mat Jami patah balik ke masjid. Dia ingin memberitahu jemaah masjid yang belum pulang selepas menunaikan solat subuh.

Ketua kampung dan Pak Imam masih di masjid. Mereka dan beberapa jemaah terkejut dengan berita yang dibawa Mat Jami. Tanpa membuang masa, mereka beredar ke rumah Pak Misan, Pak Misan sudah kaku di tepi bangsal. Mayatnya dikerumuni semut halus.

“Eh, apa hal Pak Misan memegang tali?” Tanya Pak Imam. Semua yang ada menerpa menghampiri mayat Pak Misan. Soalan itu tidak berjawab. Tidak ada seorang pun di situ yang tahu mengapa seutas tali bubut panjang dua depa itu ada di sisi Pak Misan.

“Kemaskan rumah Pak Misan,” arah Tuk Ketua Kampung. “Seorang pergi beritahu polis.”

Beberapa orang segera naik ke rumah Pak Misan. Pintu depan dan semua tingkap rumah itu terbuka. Mereka mengemas di sana sini dan membentang tikar tempat Pak Misan dibaringkan nanti.

“Kemudian kamu beritahu semua anak Pak Misan,” sambung Tuk Ketua Kampung apabila salah seorang penduduk bersedia dengan motosikalnya untuk ke balai polis kira-kira lima kilometer dari kampung itu.

Dalam masa yang singkat saja kematian Pak Misan tersebar ke seluruh kampung. Orang ramai mulai datang kerana ingin melihat keadaan Pak Misan yang dikatakan misteri itu.

Polis datang dan mengambil mayat Pak Misan untuk dibedah siasat. Orang kampung terus mengerumuni Land Rover hitam. Ketika itu Bang Akob sampai dan dia berhenti di situ bersama-sama dengan orang ramai. Di situ juga dia mendengar cerita mengenai mayat Pak Misan terbujur memegang seutas tali.

“Pak Misan memegang tali?” Tanya Bang Akob sendirian. Keanehan itu timbul kerana dia sendiri terserempak dengang lembaga menyerupai Pak Misan di kebun durian. Dia juga kelihatan mengheret seutas tali.

Selesai urusan pengkebumian Pak Misan, cerita misteri kematian Pak Misan tidak habis di situ. Ia merebak terus. Ramai yang bersimpati dengan arwah Pak Misan namun ramai juga yang mengaitkannya dengan pelbagai kisah timbul ketika Pak Misan masih hidup.

Seminggu selepas kematian Pak Misan, timbul pula kejadian yang lebih buruk. Kampung Pandan Seri ditimpa suasana yang menakutkan. Menjelang senja saja, terdengar suara terpekik terlolong kononnya terpandang lembaga mengheret tali berjalan di sekitar rumah Pak Misan. Yang mendakwa nampak hanya seorang dua, tetapi ceritanya cepat merebak sampai ke telinga anak remaja dan suri rumah.

Suatu senja, beberapa lelaki agak tua berjalan melintasi rumah arwah Pak Misan yang tinggal kosong sejak kematiannya. Sebaik saja sampai di depan rumah itu, mereka ternampak jelas satu lembaga menyerupai Pak Misan.

Sebelum meninggal, di situlah biasanya Pak Misan berdiri menunggu kawan-kawannya bersama ke masjid.

Hari demi hari, semakin ramai orang terserempak dengan lembaga itu. Yang anehnya tiap kali bertemu lembaga orang tua itu sedang mengheret tali.

Bukan itu saja,tali bubut itu juga melahirkan satu lagi misteri. Beberapa orang suri rumah pernah terserempak tali itu berlengkar di depan pintu rumah.

Kejadian itu sesungguhnya amat menakutkan penduduk Pandan Seri. Langkah mengatasinya diambil. Tuk Ketua Kampung memanggil anak buah berkumpul mencari jalan menghilangkan jelmaan itu. Ramai penduduk kampung bersimpati dengan arwah Pak Misan.Mereka tidak mahu jelmaan lembaga itu dikaitkan dengan Pak Misan. Sudahlah ketika ada hayatnya dulu hidup sebatang kara, ditinggal anak dan matinya pula menjadi sedemikian rupa.

“Baiklah, biar saya cuba bercakap dengan lembaga itu,” kata Pak Imam membuat cadangan.

“Saya nak ikut Pak Imam,” celah seorang ketika berlangsung pertemuan penduduk di masjid kampung itu.

“Biar saya pergi seorang diri…” jawab Pak Imam, ”saya merayu dengan makhluk halus itu nanti supaya jangan mengganggu penduduk kampung kita.”

Ramai orang tua di kampung itu percaya kononnya ketika hayatnya dulu, Pak Misan banyak menyimpan ilmu batin, termasuklah ilmu mempertahankan diri dan penggerun. Banyak makhluk halus mendampinginya. Akibatnya kehidupan Pak Misan menjadi tidak tenteram, terutama pada penghujung hayatnya.

Pada usia penghujung enam puluhan, Pak Misan kematian isteri. Dia tinggal kesepian. Semua anaknya sudah berkeluarga dan tinggal jauh dari rumah orang tua itu. Akhirnya, kira-kira enam bulan hidup membujang dan dihimpit pelbagai tekanan perasaan, Pak Misan menyuarakan rasa hati kepada semua anaknya untuk berkahwin lagi.

“Tak boleh ayah… kalau ayah mati nanti senang-senang saja janda ayah dapat harta… kami dapat apa?”kata anak sulung. Anak yang lain juga sekata.

Mendengar itu, Pak Misan tunduk saja. Air matanya menitis ke lantai. Betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul… Pak Misan menahan hati tidak terhingga. Semua anaknya mementingkan diri tanpa memikirkan keadaan dan perasaan si ayah.

Agak lama juga Pak Misan bergelut dengan perasaan. Rayuan dan pujukan syaitan tidak putus-putus menyerang Pak Misan. Dengan sedikit iman di dada dapat juga Pak Misan melawannya, namun sampai bila?

Suatu hari pujukan syaitan bertambah kuat. Ia menabur janji yang indah-indah dengan syarat Pak Misan mengikut kehendaknya. Pak Misan bergelut lagi dengan hasutan itu. Akhirnya dia sudah mencapai seutas tali, tetapi dia masih mampu melawan pujukan itu. Dia rebah di bangsal di belakang rumah.

Sejak kematian Pak Misan, timbulah pelbagai cerita mengenainya. Ada yang menamakan jelmaan lembaga itu sebagai ‘hantu tali gantung’. Begitu buruknya sekali fitnah yang dicipta sesetengah anggota masyarakat kampung itu.

“Assalamualaikum…!”seru Pak Imam di depan rumah Pak Misan. Tiada jawapan. “Sah ini syaitan… ia menyerupai… jahatnya syaitan jahanam!” kata Pak Imam dalam hati. Kemudian dia membaca ayat suci khusus menghalau syaitan. “Sudah… Pak Misan sudah meninggal… ini bukan dunianya lagi… pergi!”

Selesai di situ Pak Imam mengajak beberapa penduduk kampung pergi ke kubur Pak Misan. Mereka membaca Al-Fatihah dan Yasin di samping memohon doa agar roh Pak Misan sentiasa dalam keadaan dirahmati Allah. - Amin. 

Hantu di hostel (copy paste

Korang mesti tak pernah dengar cerita hantu dari Russia kan.. Entah la.. aku bukan tak nak cerita, masalahnya aku tak nak ambil tahu pun. Yelah. Dulu kat bilik lama aku selalu duduk kat dalam bilik sorang-sorang. Nanti tak pasal-pasal je.. Apa-apa pun ni cerita yang dialami sendiri oleh kawan aku. Budak Malaysia gak.
Kawan aku ni dia ada awek kat Malaysia. Jadi ada kalanya mestilah nak Skype dan berwebcam bagai untuk melepaskan rindu. Biasalah tu kan, long distance relationship macam tu la. Tak tau dah berapa lama diorang couple, tapi aku rasa maklumat tu takde kaitan la dengan cerita hantu ni.
Dia ni selalu bangun awal pagi untuk chatting dengan awek dia. Tak pasti awal macam mana, sebab aku tak sempat lagi interview mangsa. Cuma dengar cerita ni daripada mulut ke mulut je. Diceritakan satu hari tu dia bangun awal macam biasa untuk chatting dengan kekasih hati dia. Kawan-kawan sebilik semua dah tidur. Maka duduklah dia seperti biasa kat meja, chatting sambil buka webcam.

Hari tu sejuk dia lain sikit. Tinggal kat hostel ni, kalau duduk kat floor yang lagi tinggi, kesejukan tu makin kurang terasa. Tak taulah kenapa malam tu sejuk dia memang lain macam sikit walaupun bilik dia kat tingkat 15. Rasa macam ada angin tiup je.. perlahan. Dingin. Kadang-kadang kalau angin kuat sikit rasa macam ada orang je tiup kat tepi tengkuk. ishh.. Tapi kawan aku ni relax je. Dah bermalam-malam kot dia online waktu-waktu ni, jadi benda macam ni dah boleh kata biasa pada dia bak kata orang dah jadi alah bisa tegal biasa. Untuk menghilangkan sikit kesejukan malam, dia bancuh Nescafe 3-in-1. Waktu sejuk ni memang best dapat minum air panas.
Lepas bancuh Nescafe, dia terpandang kat tingkap. Tingkap takde langsir jadi memang boleh nampak hutan belakang yang besar dan paya. Belakang hostel ni ada paya, tapi air dia kotor sangat. Kalau tengok dalam Google maps pun boleh nampak paya tu. Bila datang musim sejuk paya tu beku, tapi awal-awal ni belum beku sepenuhnya. Bahaya kalau main-main atas paya yang tak cukup beku ni.. Malam tu bulan mengambang penuh. Jadi memang terang semacam je hutan belakang tu. Baru kawan aku perasan tingkap tu tak tutup rapat. Patut la sejuk je..
Dia duduk menghadap laptop Acer tu balik. Webcam terbuka dari tadi. Jadi si awek nampak la apa yang berlaku kat sini. Mereka sambung chatting. Lampu ditutup, barulah ada feel sikit kan. Tengah chatting sekali si awek  tanya:
“Eh kawan you pun tak tidur lagi eh?”
“Mana ada, semua dah tidur la..”
“Tapi ada je I nampak orang lalu lalang belakang you”
“….”
Bila ditanya balik, sepanjang mereka chatting sebelum tu memang si awek nampak kelibat orang belakang kawan aku tu. Tapi tak nampak siapa sebab gelap kan. Ingatkan kawan sebilik yang tak tidur lagi padahal dah lama diorang tidur. ish..

Rabu, 28 September 2011

Misteri : Hanako-san , Hantu Gadis Dari Jepun


Misteri : Hanako-san , Hantu Gadis Dari Jepun

Share24
Hanako-san - seorang gadis muda menyeramkan yang telah menghantui tandas sekolah di seluruh Jepun dalam beberapa dekad kebelakangan ini menjadi salah satu hantu yang paling terkenal di Jepun. 


 
Ia bukan sesuatu yang misteri untuk sekolah mempunyai tandas yang telah diduduki oleh gadis misteri ini , yang dikenali di Jepun sebagai Hanako-san (Hanako tandas). Dia selalunya ditemui di dalam tandas di tingkat tiga - biasanya tandas perempuan . Datang dalam keadaan fizikal yang berbeza-beza, tetapi kebanyakkan melihat hantu ini muncul sebagai seorang gadis yang memakai skirt merah dan menpunyai potongan rambut yang pendek


Hanako --

Tingkah laku Hanako-san juga berbeza-beza mengikut lokasi, tetapi dalam kebanyakan kes, dia tinggal di dalam tandas sehingga ada pelajar yang berani memcabarnya. Hanako-san biasanya akan megetuk pintu (biasanya tiga kali), memanggil namanya, dan bertanyakan soalan yang tertentu. Soalan yang paling biasa adalah hanya "Adakah anda di sana, Hanako-san?" Jika Hanako-san benar-benar wujud, katanya dengan suara yang lemah, "Ya, saya di sini." Ada verita yang memdakwa , sesiapa yang berani membuka pintu ketika hanako-san didalamnya akan ditarik ke masuk ke dalam tandas.




Cerita mengenai hanako-san ini terdapat dalam banyak versi . Walaupun ia menjadi satu fenomena di jepun pada tahun 1980-an, terdapat spekulasi bahawa hano-san telah wujud sejak tahun 1950-an. Ada cerita-cerita yang mendakwa dia adalah hantu gadis era Perang Dunia ke 2 yang meninggal dunia dalam serbuan pengeboman di sekolah ketika dia bermain sorok-sorok. Cerita-cerita lain mendakwamati ditangan orang tuanya yang gila dan mayatnya disorok didalam tandas bertahun-tahun. Dalam sesetengah kes, dia adalah hantu bekas pelajar yang meninggal dunia dalam kemalangan di sekolah (satu cerita dari Fukushima wilayah, sebagai contoh, mendakwa dia adalah hantu seorang gadis yang jatuh dari tingkap perpustakaan). - mana 1 betul pun aku tak tahu lahh.




Tidak terkira banyaknya versi legenda Hanako-san telah muncul dari semasa ke semasa. Berikut adalah beberapa variasi yang lebih berwarna-warni:- Menurut salah satu legenda wilayah Yamagata, sesuatu yang dahsyat akan terjadi kepada anda jika Hanako-san bercakap kepada anda dengan suara yang jahat. Satu lagi legenda dari Yamagata wilayah mendakwa bahawa Hanako-san sebenarnya 3-meter panjang, 3-kepala cicak yang menggunakan suara seorang gadis kecil untuk menarik mangsanya. - Di sebuah sekolah di bandar Kurosawajiri (wilayah Iwate), hanako-san dikatakan mempunyai tangan yang besar dan berpakaian putih muncul dari lubang di tandas yang ke tiga .
- Dalam tandas lelaki di sebuah sekolah di Yokohama (Kanagawa wilayah), didakwa bahawa tangan berdarah muncul dari tandas yang ditinggalkan jika anda berjalan di sekitar tandas sambil memanggil nama hanako-san tiga kali. - Kisah juga telah diedarkan kira-kira apa yang dipanggil "Hanako kulat" yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang scrapes lutut mereka di taman permainan. Jangkitan dilaporkan menyebabkan cendawan kecil bercambah dari sakit kurap. 



Bagi sebahagian besar, Hanako-san tidak berbahaya dan boleh dielakkan hanya dengan menjauhi tempat persembunyian beliau yang ditetapkan. Tetapi jika anda perlu untuk menyingkirkan tentang dia, cuba menunjukkan peperiksaan satu bergred beliau dengan skor sempurna. Beberapa legenda mendakwa bahawa melihat gred yang baik membuat dia hilang ke udara nipis. - 

Jumaat, 24 Jun 2011

Antara tanda-tanda diganggu makhluk halus

Antara tanda-tanda diganggu makhluk halus

Assalammualaikum

Sekadar berkongsi maklumat dengan rakan2. Mengapa sekarang ni ramai yang kena gangguan ni...mungkin tempat jin tu telah diganggu...mungkin semakin ramai yang lemah jiwa akibat tekanan hidup dan kerja....dan lain2.

Antara tanda-tanda diganggu makhluk halus

1- Susah tidur malam
2- Tersentak-sentak ketika tidur (mcm kene kejutan elektrik)
3- Selalu sakit kepala
4- Lenguh-lenguh seluruh tubuh terutama di bahu
5- Rasa sakit-sakit di pinggang, lutut dan tapak kaki
6- Pandangan kabur dan kadang-kadang ternampak-nampak sesuatu
7- Telinga berdengung/berdesing
8- Mimpi yang menakutkan spt binatang buas
9- Mimpi berada di tempat yang tinggi, jatuh dari tempat yang tinggi, ternampak air sungai @ laut
10- Dikejar sesuatu ketika dalam mimpi,atau berlari2
11- Makan lebih dari biasa, banyak terlajak.
12- Makan banyak tp rasa tak kenyang seolah-olah makanan tak jatuh ke dalam perut
13- Sesak nafas
14- Terasa ditindih semasa sedang tidur (banyak terjadi kepada perempuan)
15- Lebam-lebam di tubuh terutamanya di peha dan lengan
16- Suka menyendiri sorang-sorang
17- Terdengar bisikan suara di telinga
18- Mempunyai tanda-tanda diatas tapi tanak berubat atas alasan tak sakit pun.
19- Perubahan perangai secara mendadak
20- Susah hamil sedangkan pasangan suami dan isteri tiada apa-apa masalah
21- Bertukar menjadi seperti lembu dicucuk hidung samada kepada lelaki ataupun perempuan
22- Tidak dapat melakukan hubungan seks bila dah dalam satu selimut, tapi perasaan tersebut begitu membara bila berjauhan
23- Budak- budak yang menangis lebih dari kadar biasa.
24- dll

Jika ada antara kita mengalami antara tanda2 tersebut kemungkinan ada gangguan. Cubalah berubat. Tapi pastikan kita berubat dengan pengamal perubatan Islam yang sebenar, menggunakan ayat al-Qur'an 100%. Kita berikhtiar dan berusaha...Allah jua yang menyembuhkannya.Banyakkan membaca al-Qur'an, dengar2 kanlah ayat rukyah (boleh cari di internet), selepas solat subuh amalkan membaca :
لا اله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد يحي ويميت وهو على كل شيء قدير
sebanyak 100 kali..dan banyak lagi amalan2 yg boleh kita amalkan.

Wassalam

Selasa, 14 Jun 2011

Gadis pengakap terjun dalam lombong

Gadis pengakap terjun dalam lombong

CERITA ini adalah daripada pengalaman adik ipar saya. Dia memang boleh digelar kaki pancing malah tahap hantu pancing dan sewaktu dengannya. Cakaplah di mana tempat pancing baru, semua dia nak pergi. Dalam hutan atau ke laut dalam; dia memang tidak kisah. Pergi pagi atau malam pun tidak menjadi hal. Pukul berapa pun, dia memang tak kisah. Ajak saja, dia pasti pergi.

Azman memang kaki pancing. Sampai emak dia sendiri pun naik bimbang dengan perangainya. Lebih-lebih lagi kalau dia pergi memancing dengan kawannya pada tengah malam. Pernah emak dia tegur, tak takut kalau-kalau terserempak hantu jembalang dalam hutan. Sebaliknya, Azman menjawab memang dia hendak berjumpa sangat dengan hantu. Mengucap panjang kami bila mendengarnya.

Kami kalau boleh tidak mahu berjumpa benda-benda macam itu. Tetapi Azman, dia berharap sangat hendak bersemuka. Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari, kata Azman dia sudah bosan melayan ikan tilapia, baung, haruan dan sepat. Kali ini, dia hendak merasa layanan ikan toman.

Hari itu Azman, Mat dan Ajai sudah bersedia untuk meneruskan misi mereka mahu merasakan tentangan ikan toman. Segala peralatan dan kelengkapan memancing sudah disediakan. Dengan menunggang motosikal ex5, bergerak mereka bertiga menuju lokasi pilihan. Sepanjang perjalanan, banyak kawasan perumahan mereka tempoh. Kawasan perkampungan Orang Asli juga terpaksa dilalui oleh mereka. Walaupun berada dalam suasana perkampungan yang sama, namun baru kali ini mereka bertiga berhadapan dengan Orang Asli. Mereka berbalas senyuman pada Azman, Mat dan Ajoi bila berselisih seketika.

Dalam pengetahuan mereka, kawasan pilihan adalah berdekatan dengan Kem Bina Negara. Dan di situ juga menjadi kawasan tapak perkhemahan untuk orang ramai. Tetapi mereka mengikuti jalan pintas ke kawasan lombong berkenaan. Itulah kawasan pilihan mereka bertiga. Satu lombong tinggal yang jauh ke dalam hutan. Cuma orang-orang tertentu yang tahu adanya lombong itu.

Setelah meninggalkan kawasan penempatan Orang Asli, mereka bertiga masih meneruskan perjalanan. Akhirnya tekaan Azman memang benar. Mereka akan menemui kem berkenaan sebelum menuju ke lombong. Tetapi pada sangkaan mereka lombong itu tidaklah jauh sangat dengan kem. Apabila menempuhi satu lagi perjalanan membuatkan mereka rasa terlalu jauh. Tempat yang dijangkakan dekat menjadi seakan-akan terlalu jauh. Ini kerana mereka terpaksa menempuh laluan tanah merah dan lumpuh.

Azman, Mat dan Ajai terpaksa berhati-hati menunggang motosikal kerana takut tergelincir dan tersangkut dalam lumpur. Hampir tiga jam mereka bertiga menempuhi segala halang itu. Akhirnya sampai juga tempat yang dicari mereka.

Azman memandang persekitaran tepi lombong. Dia mencari tempat yang sesuai untuk melabuhkan umpannya nanti. Begitu juga dengan Mat dan Ajai. Masing-masing mencari tempat pilihan. Walaupun jarak masing-masing agak jauh namun masih dapat mendengar laungan mereka sesama mereka.

Setelah mencampakkan umpan ke dalam lombong. Azman melabuhkan punggung ke tanah. Sambil itu matanya memandang ke atas. Matahari hari hampir hilang dalam gumpalan awan dan sinarannya semakin kecil. Sudah jam 7 malam, bisik hati Azman. Lalu Azman melihat jam di tangan sendiri. Memang sudah lebih jam 7 malam. Azman amat berharap ada taman perumahan di sekitarnya.

Azhar memandang batang pancingnya yang tidak bergerak sejak awal tadi. Mustahil tidak ada ikan di sini, bisik hati kecilnya. Sikit pun tali pancing tidak bergerak, keluh Azman pula.

 kau ada dapat ke? jerit Azman.

Dapat, dapat tengok!  balas Mat.

ajai, kau macam mana? tanya Azman.

aku pun sama, dapat tengok juga! balas Ajai.

tapi kalau aku dapat, mestilah aku dulu yang menjerit, kau tahu! balas Ajai lagi.

Ucapan itu membuatkan Azman tersenyum sinis sendirian. Jam di tangan menunjukkan waktu lebih 8 malam. Perut mula terasa lapar. Azman membuka bekalan yang dibawa.

Azman lahap makan kerana terlalu lapar. Tetapi matanya masih tidak lepas memandang pancingnya itu. Sejak tadi hanya ikan baung yang dapat dipancingnya. Empat ekor baung tumpas tetapi sekadar tidak lebih 200 gram seekor. Dalam leka dengan pancingnya, tiba-tiba Azman terdengar bunyi kayu ranting dipijak sesuatu. Lantas Azman menoleh ke belakang walaupun agak gelap di kawasan semak di sekitar lombong itu. Namun dengan cahaya bulan Azman masih boleh melihat kelibat Mat dan Ajoi. Azman tidak nampak sesiapa pun di situ . Kemudian Azman terdengar bunyi bising seketika di kawasan lombong seolah-olah ada orang berpesta di situ.

Tetapi kemudian suasana sunyi kembali seketika.

siapa pula yang datang berkhemah ni, kacau betullah? ...  ( bentak hati kecil Azman.)

abang mancing ikan apa, suatu suara menegurnya dari belakang...

Azman menoleh ke belakang. Dia terkejut. Seorang gadis berpakaian uniform pengakap berjalan menuju ke arahnya.

ada perkhemahan di sini ke? .. tanya Azman.

abang tahu dalam lombong ini, banyak kuali buruk, kata gadis itu tanpa menjawab pertanyaan Azman.

Azman terkejut bila tiba-tiba gadis itu melompat terjun ke dalam lombong di depan matanya. Azman mula merasakan lututnya longgar dan dia terasa kaku seketika. Namun dia masih sempat menjerit nama Mat dan Ajoi sebelum dia pengsan.

Selepas balik memancing hari itu, hampir seminggu Azman deman. Tetapi Azman tidak serik untuk meneruskan hobinya itu. Dan, memang betullah dia hantu pancing.

Misteri Di Lebuhraya Karak

Misteri Di Lebuhraya Karak

  

Beberapa tahun yang lepas, satu keluarga berbangsa melayu dalam perjalanan pulang ke Terengganu untuk menziarah saudara mara di kampung. Mereka semuanya berempat iaitu sepasang suami isteri dan dua anak perempuan mereka. Mungkin ingin mengelakkan jalan yang sibuk, mereka bertolak agak lewat dan sesampainya di Tol Gombak, jam telahpun menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam.

“Bang, jangan bawak laju sangat bang, Ayu dengar kat area depan tu banyak accident tau,”


“Alah, abang tahu tapi kereta dah bikin cam ni mana boleh slow, kenalah lenjan habis, heh”, balas Hamid.


Sementara mereka berdua sibuk berbual, anak-anak mereka telah pun lena tidur di belakang. Ayu cuba menahan dari tertidur untuk berbual dengan suaminya agar tidak merasa mengantuk jika memandu sendiri. Ketika sedang asyik berbual tiba-tiba kedengaran bunyi rempuhan.

“Ah, sudah apa yang kita terlanggar tadi?”


“Bang, try check entah-entah kita terlanggar orang melintas ke, susah kita dibuatnya bang” kata Ayu kepada suaminya.

Akur dengan kehendak isterinya, Hamid memberhentikan keretanya di bahu jalan. Hamid keluar dari kereta dan cuba meninjau jalan yang telah dilaluinya tadi tetapi gagal menjumpai apa-apa. Hamid mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanannya, tetapi entah mengapa enjin keretanya tidak dapat dihidupkan.

“Eh…pelik tadi ok je, orang nak cepat dia buat hal pulak!”bentak Hamid.


“Kenapa bang?…rosak ke, trylah tengok-tengokkan enjin tu”, balas Ayu.

Apabila bonet depan dibuka, Hamid dapati keretanya kekurangan air. Hamid menyumpah-nyumpah dirinya kerana kecuaiannya menyebabkan mereka sekeluarga tersangkut di tengah-tengah Lebuhraya Karak. Memikirkan kemungkinan ada anak sungai berhampiran, Hamid mencapai botol dari dalam kereta dan berjalan seorang diri dalam kegelapan malam. Sebelum itu sempat dipesan kepada isterinya agar semua pintu dikunci dan jangan melayan jika ada orang selain darinya yang datang.

Sambil berjalan, Hamid menyumpah-nyumpah dalam hati. Kemarahannya reda bila mendapati ada cahaya di depannya, lantas dia menuju ke arah tersebut. Cahaya tersebut adalah bayangan cahaya bulan pada air sungai, tanpa berlengah Hamid memenuhkan air ke dalam botol yang dibawanya. Keadaan di sekeliling sungai sepi, hanya sesekali desiran angin malam membuatkan tubuh Hamid menggeletar kesejukan.

Ketika sedang mengambil air Hamid memandang sekelilingnya, hanya pohon-pohon tua yang berbentuk ganjil,besar,tinggi dan kelihatan menakutkan. Dan ketika itu pandangan Hamid tertumpu pada sebatang pohon tua yang berada di hadapannya. Lamunannya tersentak bila dia mendapati ada sesuatu yang bergerak di balik pokok. Hamid mula mengundurkan diri, memikirkan kemungkinan ianya binatang buas. Tetapi sangkaannya meleset bila perlahan-lahan ada sekujur tubuh di tutup kain putih keluar dari balik pokok.

Tanpa menanti botol penuh Hamid segera mengangkat kaki sambil mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat Kursi. Ketika berlari pendengarannya dikejutkan dengan suara perempuan menjerit keras, diikuti dengan raung tangis berpanjangan. Sinar rembulan membantunya melihat dengan jelas akar-akar pokok yang berselirat agar tidak tersungkur. Sesampai di kereta isterinya terkejut melihat suaminya yang ketakutan.Terketar-ketar Hamid cuba menyatakan sesuatu.

Dengan cepat Hamid mengisi air dan terus menghidupkan enjinnya. Ketika hendak meneruskan perjalanannya, sempat dia menjeling pada cermin pandang belakang dan alangkah terkejutnya Hamid bila mendapati tubuh berbalut kain putih tadi berada di belakang keretanya tetapi kali ini Hamid dapat melihat dengan jelas mukanya. Kulitnya kering kontang, berkeriput dan biji matanya tersembul keluar.

Ketika itu juga hidungnya dapat menangkap bau busuk seperti mayat yang terbiar. “Ayu, jangan pandang belakang”, kata Hamid mengingatkan isterinya. Walaupun Hamid menekan habis minyak tetapi dirasakan keretanya bergerak terlalu perlahan dan makhluk yang mengejarnya telahpun berada di sebelah kanannya. Isterinya telah pun pitam bila memandang makhluk tersebut. Kini hanya tinggal Hamid seorang menghadapi makhluk tersebut.

Keesokan harinya terpapar di dada akhbar sekeluarga maut ketika dalam perjalanan pulang ke Terengganu. Keretanya terperosok ke dalam sungai yang letaknya sejauh 1 kilometer dari bahu jalan!! Sehingga kini bagaimana kereta tersebut boleh terbabas sejauh itu masih menjadi misteri yang belum bertemu jawapannya.

Jumaat, 10 Jun 2011

HANTU TANDAS

(DICIPLAK OLEH -A-)






Kisah ini dialami oleh rakan karibku... di sebuah sekolah berasrama penuh....)
Tandas asrama blok B memang sudah terkenal dengan keseramannya. Ramai senior menceritakan perihal tandas itu kepada kami (junior). Ada yang nampak kepala oranglah, tangan berbululah, dan bermacam-macam lagi. Tapi aku sama sekali tidak percaya akan cerita-cerita karut itu. Pada fikiranku cerita tersebut
sengaja direka-reka oleh pelajar senior untuk menakut-nakutkan kami. Lagipun aku dibekalkan tangkal oleh nenekku. Menurutnya, kegunaan tangkal ini adalah untuk menghalau syaitan dan iblis. Tetapi, suatu peristiwa telah berlaku yang menyebabkan aku tidak mempercayai nenekku lagi.............

Pada suatu malam, aku belajar seorang diri di bilik study. Kawan-kawanku yang lain semuanya sudah balik ke dorm masing-masing. Oleh kerana aku memikirkan peperiksaan sudah dekat, aku memilih untuk terus tinggal di bilik study. Selepas beberapa jam, aku mula berasa mengantuk. Aku mengemas barang - barang dan naik ke dorm. Sudah menjadi tabiatku, sebelum tidur aku mesti menggosok gigi dan membuang air kecil. Aku berjalan seorang diri masuk ke dalam tandas. Tiba-tiba lampu seluruh blok asrama terpadam.

"Ah, blackout!!,"gerutu hatiku.

Apabila kakiku melangkah ke dalam tandas. Aku dapat melihat kelibat tubuh orangsedang menggosok gigi di hadapan cermin. Aku dengan ramahnya melemparkan senyum pada orang tersebut.
Sedang aku menggosok gigi, aku terdengar bunyi yang ganjil datangnya daripadaorang tersebut. Aku mula berasa takut dan memandang orang itu dengan teliti. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat orang itu menggosok giginya dengan pisau dan mulutnya berlumuran darah!

Aku terkejut. Apa lagi, tidak menunggu lama aku terus berlari meninggalkan tandas tersebut sambil menjerit. Seluruh isi asrama terjaga. Oleh kerana terlampau terkejut, aku pengsan. Apabila sedar, didapati aku telah berada di dalam bilik rawatan asrama. Aku menceritakan apa yang berlaku pada malam itu. Semua kawan-kawanku tercengang dan melopong.

Mulai dari malam itu, aku berjanji pada diriku bahawa aku tidak akan belajar sehingga lewat malam lagi. 

HANTU TONG GAS

Korang pernah dengar cerita hantu pasal seorang mak cik dan tong gas? Meh aku cerita.

Jeng jeng jeng.. Kejadian berlaku pada tahun 2006 di Kedah.

Dulu lepas SPM bosan2 lepak aku pun cuba2 la carik kerja.. Dan dapat la aku kerja di satu kompeni ni, aku masuk bahagian marketing..
Kerja aku ni memang penat sikit sebab terpaksa banyak berjalan.. Kadang2 kitorang jalan sampai ke Perancis (Ok dah tipu sangat) tapi tak apa la 
kan sebab kata orang tua-tua.. jauh berjalan, luas pemandangan, banyak pengalaman..

Tapi dalam banyak-banyak pengalaman tu, macam biasalah kat dunia ni ada yang best, ada pulak yang tak best..

Nak dijadikan cerita, satu hari aku dan lg sorang brader, nama dia Shah, kiranya kami dua orang la kne kuar ke satu kawasan ni.. kat area2 kedah
jugak. Aku tak ingat lokasi secara spesifik tapi lebih kurang kawasan antara Yan ke Jemerlang. Maka dengan berbekalkan kereta Nissan Frontier,
kami pun bertolak.

Disebabkan kami kena meng'explore' semua kawasan disitu maka kami pun masuklah ke satu jalan kampung ni. Jalannya taklah besar sangat, 
muat untuk satu kereta jek. Kalau dua kereta kecil nak lalu pun terpaksa berhimpit lah. Tiba2 kitorang ternampak sorang makcik ni, umur dalam 50
lebih. Sebelah dia ada budak kecik dalam lingkungan 10 tahun, maybe anak atau cucu makcik tu.



Mak cik tu tengah tarik tong gas dalam hujan. Masa tu ada hujan sikit, tapi taklah lebat sangat, hujan renyai-renyai camtu je. Kitorang pun 
macam kecian la pulak tengok makcik tu tarik tong gas tengah2 hujan..
So kitorang pun apa lagi.. sebagai generasi pemimpin masa hadapan kami dengan hensemnya meng'offer a ride kat mak cik tu.. (pergh bersepah bahasa)
Tapi makcik tu menolak dengan baik.
"Takpe lah nak.. dah dekat dah ni,"

Lepas 2-3 kali pujuk namun makcik tu still menolak, so kitorang pun taknak lah paksa2 orang. Kitorang pun jalan la. Disebabkan depan macam 
dah takde apa2 lagi, kitorang pun nak berpatah balik. Brader Shah pun nak membuat pusingan 3 penjuru utk berpatah balik. (U know.. belok ke 
kanan, gostan, patah balik, macam amik lesen keta tu)

Baru je Shah membelok ke kanan tiba2 dia cakap kat aku - "Eh mana makcik tadi tu pergi?"

"Dah sampai rumah agaknya," jawab aku selepas tengok makcik tu tiada di jalan tadi.

"Oh.. takpelah kalo camtu."

Lepas tu dia pun mendiamkan diri. Aku pun ikut diam lah kan. Shah pun bawak kereta keluar ke jalan besar. Dalam 100 meter selepas 
keluar dari simpang jalan kampung tadi Shah pun berhentikan kereta kat tepi jalan.

"Kau tahu kenapa aku tanya pasal makcik tadi tu?" tanya Shah.

"Tak, apesal?"

"Masa aku belok nak patah balik tadi, aku tengok makcik tu dah tak ada,"

"Dia dah sampai rumah la kot," Jawab aku.

"Tak mungkin.. Sebab sebelum aku belok tadi, aku tengok cermin pandang belakang. Masa tu Makcik tu ada lagi, tengah tarik tong gas.
"Tapi bila aku belok je, mak cik tu dah takde.. Takkan dia boleh hilang sekelip mata je,"



Aku yang mendengar terus jadi seram. Kalau ada orang boleh ilang tetiba tu dah jadi cerita lain dah. Tapi bila fikir2 balik, makcik tu memang 
pelik. Bayangkan seorang makcik jalan dengan sorang budak kecil, sambil bawak tonggas, ditengah hari dalam hujan pulak tu.. Di jalan yang tak 
ada orang.. Fuh..

Sampai sekarang aku masih rasa seram sejuk bila terfikir pasal cerita tu. Tapi nasib baiklah tak jadi apa2 lepas tu. Bayangkan kalau time 
patah balik tu ada tong gas tengah melayang terbang ikut belakang kereta.. Pergh, dapat gas memasak free tuh.

Kami membuat kesimpulan barangkali makcik tu sengaja nak menguji kami yang mengembara ni (ewah.. pengembara la pulak). Disebabkan kitorang 
offer makcik tu tumpang, maka mungkin makcik tu ingat 'ohh.. baik budaknya diorang ni'
So kitorang pun lulus ujian.

Mungkin makcik tu manusia tapi kitorang yang tersilap perasan, atau mungkin jugak bukan manusia.
Wallahualam.